Bekas penolong jurutera di Maktab Teknik PDRM dibebaskan Mahkamah Rayuan daripada lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM400,000.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepaskan dan membebaskan bekas penolong jurutera di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor daripada lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM400,000.
Panel tiga hakim membenarkan rayuan Hairudin Ngadiron untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan serta denda RM2.341 juta.
Hakim Datuk Azman Abdullah berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengetepikan perintah pembebasan oleh Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan perayu dapat dijawab, sekali gus telah menimbulkan keraguan.
Hairudin, 50, didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai dan barang membaiki rumah serta kenderaan berjumlah RM465,886.32 dari Januari hingga April 2017.
Suapan itu diterima sebagai upah membantu mendapatkan kerja di Maktab Teknik PDRM Bakri.
Pada Oktober 2020, Mahkamah Sesyen mendapati Hairudin bersalah terhadap enam pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun serta denda RM341,000.
Mahkamah Sesyen bagaimanapun melepaskan dan membebaskannya terhadap dua pertuduhan menerima wang tunai RM200,000.
Mahkamah juga membebaskannya daripada sembilan pertuduhan di bawah Akta AMLATFPUAA 2001.
Pada November 2023, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan bagi enam pertuduhan rasuah.
Mahkamah Tinggi kemudian mengetepikan perintah pembebasan bagi pertuduhan pertama dan kedua serta menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan dan denda RM1 juta bagi setiap pertuduhan.
Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan pembebasan di bawah Akta AMLATFPUAA.







