Malaysia mampu hasil satu juta tan metrik bahan api penerbangan mampan (SAF) menjelang 2028 melalui dua kemudahan pengeluaran, kata Menteri Penerbangan
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mampu menghasilkan satu juta tan metrik bahan api penerbangan mampan (SAF) menjelang 2028.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jumlah itu akan dihasilkan menerusi dua kemudahan pengeluaran SAF dalam negara.
Beliau menyatakan satu kemudahan sedang dibangunkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Sekarang kita sudah ada (kilang pengeluaran SAF berkapasiti) 350,000 tan metrik oleh sebuah syarikat dari Hong Kong (iaitu) EcoCeres manakala Petronas pula sedang membina kemudahan berkapasiti 650,000 tan metrik,“ katanya di Dewan Negara.
Johari berkata keseluruhannya, apabila siap pada 2028, negara mempunyai pengeluaran satu juta tan metrik SAF.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Che Alias Hamid mengenai pelan khusus kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan bahan mentah.
Untuk menjamin bekalan bahan mentah, kerajaan akan menghentikan eksport minyak masak terpakai (UCO).
Kerajaan juga akan mengamalkan strategi ekonomi kitaran dalam aktiviti perladangan untuk mendapatkan bekalan yang cukup.
Bagi menggalakkan pelaburan, kerajaan telah memudahkan proses kelulusan lesen berkaitan seperti lesen pembinaan loji dan lesen pengeluaran SAF.
“Kerajaan akan sentiasa membantu dan memudah cara penggiat industri yang berminat untuk beroperasi di Malaysia,“ katanya.
Johari menegaskan langkah itu merupakan isyarat sokongan penuh kerajaan kepada pelabur dalam industri SAF. – Bernama







