Beberapa negara Afrika berminat mencontohi usaha Malaysia menyediakan capaian internet murah dan selamat, kata Menteri Komunikasi.
BAKU: Beberapa negara Afrika menyatakan minat mencontohi usaha Malaysia memastikan capaian internet yang murah dan selamat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan dikongsi di Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25).
“Mereka mungkin ingin mengetahui proses, undang-undang, tentangan serta cabaran yang kita hadapi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan WTDC-25 di sini.
Beliau menegaskan elemen kesalinghubungan bermakna turut menjadi tumpuan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin.
Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke WTDC-25 dari semalam hingga Rabu ini dengan beberapa mesyuarat dua hala dirancang.
“Banyak yang boleh mereka pelajari daripada Malaysia, dan banyak juga yang boleh kita pelajari mengenai perkembangan teknologi telekomunikasi di negara mereka,” katanya.
WTDC-25 bertemakan “Universal, Meaningful, and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future” berlangsung sehingga 28 November.
Persidangan empat tahun ini dianjurkan oleh ITU dengan Azerbaijan sebagai tuan rumah edisi semasa. – Bernama






