Polis sahkan penemuan mayat bayi lelaki cukup sifat dalam tong sampah tandas wanita di hentian sebelah Yong Peng Utara, Lebuhraya Utara Selatan.
BATU PAHAT: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di dalam sebuah tong sampah di kawasan tandas wanita.
Kejadian itu berlaku di hentian sebelah Yong Peng Utara, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang.
Satu pasukan anggota polis kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.
“Siasatan awal polis yang dibantu oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Yong Peng, mengesahkan penemuan seorang bayi lelaki cukup sifat, masih bertali pusat dan uri, dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata bayi berkenaan ditemukan dibaluti dengan sehelai baju dan diletakkan di dalam sebuah bakul sampah di kawasan tandas wanita hentian sebelah berkenaan.
Mayat bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagi tujuan bedah siasat.
Pemeriksaan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-221 2999.
Maklumat juga boleh disalurkan ke IPD Batu Pahat menerusi talian 07-434 3999.








