MED4IRN setuju tubuh Unit Transformasi Digital di setiap kementerian, percepat MyDigital ID dan pacu MyGov Malaysia berteraskan AI
KUALA LUMPUR: Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) hari ini bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian serta mempercepat pendaftaran MyDigital ID, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata MED4IRN juga bersetuju untuk memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI).
“Keutamaan turut diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di IPTA (institut pengajian tinggi awam) serta premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan,” kata Anwar menerusi satu hantaran di platform X beliau, pada Isnin.
Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat MED4IRN bagi memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan MADANI demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026-2030 (DICE) sebagai panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.
“Segala inisiatif ini menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026-2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat,” kata beliau.- Bernama







