Kerajaan akan laksana mekanisme penentusahan umur untuk halang bawah 16 tahun miliki akaun media sosial, fokus hanya pengesahan umur
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan mekanisme penentusahan umur bertujuan memastikan golongan berumur 16 tahun ke bawah tidak memiliki akaun media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia selaras dengan usaha meningkatkan tahap keselamatan digital.
Beliau berkata kaedah penentusahan itu akan ditentukan kelak, antaranya melalui MyDigital ID, kad pengenalan atau pasport.
“Selepas pelaksanaan mekanisme penentusahan, kerajaan tidak akan mengumpul maklumat mengenai identiti pengguna atau pemilik akaun,” katanya.
Teo menekankan proses ini hanya terhad kepada pengesahan umur sahaja.
Beliau menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat mengenai pembersihan data akaun sedia ada selepas mekanisme dilaksanakan.
Antara fokus utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini adalah menilai kebolehlaksanaan mekanisme pengesahan umur.
Penilaian itu adalah sebahagian daripada keperluan pematuhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Proses penilaian merangkumi aspek keselamatan akaun pengguna dan perlindungan data peribadi.
Ia juga melibatkan pertimbangan privasi, ketepatan teknologi serta kesesuaian dengan kerangka perundangan negara.
Proses Medan Ujian Regulatori (Regulatory Sandbox) sedang dilaksanakan bagi tujuan tersebut.
MCMC bekerjasama dengan penyedia platform media sosial untuk menilai pendekatan teknologi yang sesuai.
“Ini termasuk mekanisme pengesahan umur, pengesahsahihan entiti, penggunaan kecerdasan buatan bagi mengesan kandungan berisiko serta penambahbaikan mekanisme pengendalian aduan yang lebih pantas dan berkesan,” jelas Teo.
Selepas penilaian dan pelaksanaan proses Regulatory Sandbox, kewajipan akan diletakkan kepada penyedia platform media sosial.
Penyedia platform perlu memastikan pengguna berumur 16 tahun ke bawah tidak menggunakan akaun media sosial.
Kewajipan ini akan dilaksanakan menerusi instrumen subsidiari berkaitan.
Teo turut menjawab soalan mengenai cadangan mengawal selia proses penentusahan umur bagi platform media sosial.
Soalan itu timbul memandangkan ia melibatkan pemberian butiran peribadi warganegara kepada platform asing yang berpangkalan di luar negara.








