Sektor minyak sawit Malaysia berada pada kedudukan baik untuk sertai pasaran karbon berikutan amalan kemampanan dan ekonomi kitaran, kata Johari
KUALA LUMPUR: Sektor minyak sawit berada pada kedudukan yang baik untuk menembusi pasaran karbon, selepas menerapkan amalan kemampanan dan ekonomi kitaran merentasi rantaian nilainya, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Beliau berkata walaupun minyak sawit belum memiliki sistem kredit karbon yang tersendiri, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah yang mengambil kira pengurangan pelepasan bagi seluruh industri, termasuk usaha untuk membendung penebangan hutan.
“Bagi sektor minyak sawit, saya segera mengarahkan bahawa tiada penebangan hutan sebagai sebahagian daripada komitmen kemampanan kami, memandangkan ia merupakan salah satu daripada penyumbang utama ekonomi negara.
“Kami mahu memastikan bahawa minyak sawit yang kita eksport adalah mampan sepenuhnya.
“Sementara itu, dalam sektor lain, seperti pembuatan, kami boleh menggalakkan penggunaan tenaga solar dengan lebih meluas sebagai sebahagian daripada campuran tenaga keseluruhan mereka.
“Lama kelamaan, dan menjelang 2050, kami berharap (menerusi semua usaha ini), kita boleh mencapai kejayaan dan menyasarkan pelepasan sifar bersih,” katanya kepada media selepas melancarkan fasa kedua dana Perkongsian untuk Peralihan Iklim Diperkukuhkan (UK PACT) Malaysia-United Kingdom (UK) di sini hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma turut menghadiri majlis pelancaran tersebut.
Mengenai usaha ekonomi kitaran, Johari berkata sektor minyak sawit telah mula memaksimumkan kecekapan sumber dengan mengumpul dan menukar efluen kilang minyak sawit kepada biogas, manakala pengumpulan minyak masak terpakai semakin meningkat dan diproses sebagai bahan mentah untuk bahan api penerbangan lestari.
“Batang kelapa sawit daripada program penanaman semula kini digunakan untuk pengeluaran perabot dan tandan buah kosong ditukar menjadi pelet untuk tenaga hijau.
“Ia merupakan inisiatif ekonomi kitaran utama dalam sektor perladangan, dan langkah seterusnya ialah mengembangkannya dengan lebih jauh ke dalam industri hiliran,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan cukai karbon, kerana ia perlu meluluskan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Malaysia (RUUPIN) terlebih dahulu, dan mengadakan perbincangan komprehensif dengan syarikat serta pemain industri.
“Kami akan memberi taklimat dengan terperinci. Daripada situ, Kementerian Kewangan dan semua pihak berkepentingan akan memacu proses seterusnya dan menentukan pendekatan yang sesuai.
“Mekanisme akan disesuaikan berdasarkan penawaran pasaran yang dinamik,” katanya.
Menurut Johari, RUUPIN yang dijangka dibentangkan bagi bacaan pertama pada sidang Parlimen tahun hadapan, akan menyediakan rangka kerja perundangan kepada syarikat untuk merekod, mengurangkan dan memperdagangkan pelepasan karbon mereka. – Bernama







