Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu syarikat dalam urusan bekalan makanan lembu ke Iran, membabitkan kerugian RM488,197.60.
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat berhubung pembekalan makanan lembu ke Iran.
Heng Vie Yet dan suaminya, Wong Hun Boon, masing-masing berumur 51 tahun, didakwa bersama-sama menipu syarikat Novin Roshd Shahran Foudeh.
Mereka didakwa memperdaya syarikat tersebut untuk mempercayai bahawa syarikat Stillwater Venture Sdn Bhd boleh membekalkan 85 metrik tan makanan lembu ke Iran.
Perbuatan itu mendorong syarikat terbabit menyerahkan EUR 105,295 (RM488,197.60) sebagai bayaran pendahuluan 70% ke dalam akaun Stillwater Venture.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama antara 1 Julai 2024 hingga 12 Dis 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zul Hilmi Latif memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Pasangan itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak mampu membayar dan telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan semula kes. – Bernama








