Pejabat KWSP Kangar ditutup sementara susulan peningkatan paras air banjir, urusan disarankan secara dalam talian melalui i-Akaun.
KANGAR: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kangar ditutup sementara mulai hari ini sehingga pemberitahuan selanjutnya.
Penutupan ini berikutan peningkatan paras air akibat banjir di kawasan tersebut.
KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ahli serta petugasnya.
Ahli yang mempunyai temu janji dinasihatkan menjadualkan semula urusan mereka.
Transaksi penting boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu.
“KWSP sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan penyedia perkhidmatan untuk memantau keadaan,” menurut kenyataan itu.
Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan secepat mungkin.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan transaksi KWSP, ahli boleh menghubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-89226000.
Ahli juga boleh melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my untuk maklumat terkini. – Bernama







