Seorang pelajar praktikal kejuruteraan maut dalam insiden letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Mangsa yang maut dalam insiden letupan di sebuah universiti swasta hari ini ialah seorang pelajar praktikal.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Prof Chang Yoong Choon berkata mangsa, Soo Yu Juan, 24, ialah pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal.
Beliau berkata pelajar itu sepatutnya menamatkan latihan industrinya pada Khamis ini.
“Kejadian ini amat mengejutkan dan luar jangkaan pihak universiti,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Chang berkata pihak universiti menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajar termasuk semasa latihan industri.
Beliau berkata universiti akan mengemukakan tuntutan insurans setelah semua dokumen diperoleh.
“Saya sendiri mewakili universiti untuk menguruskan kes ini sehingga selesai sebagai komitmen UTAR kepada pelajar dan keluarga mangsa,” katanya.
Syarikat tempat mangsa menjalani latihan industri juga menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan dan bantuan.
Chang berkata punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.
Pihaknya menunggu hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ibu dan abang mangsa hadir ke Jabatan Forensik HKL bagi proses pengecaman.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL.
Sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di universiti berkenaan kira-kira 11.40 pagi tadi.








