Wednesday, November 12, 2025
27.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pelan pembangunan Bank Data Kebangsaan bermula tahun depan

Kerajaan sedang merangka pelaksanaan Bank Data Kebangsaan tahun depan untuk memperkukuh tadbir urus data negara ke arah negara AI menjelang 2030.

KUALA LUMPUR: Kementerian Digital kini sedang merangka pelan pelaksanaan Bank Data Kebangsaan (NDR) yang dijangka bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik di bawah agenda Kerajaan MADANI untuk memacu Malaysia ke arah negara berasaskan kecerdasan buatan menjelang 2030.

“Antara perkara utama akan dilaksanakan termasuk kajian menyeluruh mengenai keadaan semasa dan keperluan ekosistem data negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) mengenai tempoh masa diperlukan untuk membangunkan NDR dan jangkaan operasi penuhnya.

Pelan pelaksanaan NDR turut memberi tumpuan kepada pembangunan piawaian data bagi memastikan semua agensi kerajaan menggunakan format data seragam.

Ia juga menilai keupayaan infrastruktur dan kemahiran tenaga kerja berkaitan pengurusan data serta pembangunan seni bina dan platform teknologi.

“Pendekatan ini akan membantu memastikan semua sistem kerajaan dapat berkongsi data dengan lebih selamat dan berkesan,” katanya.

Wilson menjelaskan bahawa Aplikasi MyGOV Malaysia memerlukan NDR sebagai repositori nasional data berkualiti tinggi daripada pelbagai sektor.

“Integrasi ini penting kerana ia membolehkan MyGOV memaparkan data dan maklumat daripada pelbagai agensi dalam satu platform,” katanya.

Beberapa protokol utama akan dikuatkuasakan termasuk penggunaan data yang disahkan daripada sumber dipercayai serta pelaksanaan persetujuan eksplisit pengguna.

Kerajaan juga akan memastikan kawalan keselamatan data dilaksanakan sejajar dengan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864). – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories