Seorang pembantu kedai makan kerugian RM77,889 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan keuntungan 10%
KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai makan kerugian RM77,889 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditawarkan pekerjaan itu melalui aplikasi WhatsApp pada 4 Oktober lepas.
Tawaran itu dibuat oleh seorang individu yang dikenali mangsa di laman sosial.
Suspek menawarkan pulangan keuntungan sebanyak 10% bagi setiap jualan pakaian dan aksesori wanita.
Mangsa yang terdesak mencari wang tambahan bersetuju dan diarah mendaftar di sebuah aplikasi sebagai penjual.
“Mangsa telah menerima beberapa pesanan dari pelanggan di aplikasi berkenaan, namun dia diminta membuat bayaran yuran proses terlebih dahulu,” kata Azli.
Wang yuran proses itu dijanjikan akan dikembalikan semula bersama pulangan keuntungan.
Mangsa membuat pembayaran berjumlah RM77,889 ke enam akaun berbeza secara berperingkat dari 16 Oktober hingga 26 November lepas.
Wang itu berasal daripada simpanan peribadi, pinjaman kenalan dan wang saudara-mara.
Lelaki itu menyedari ditipu setelah tidak menerima pulangan keuntungan yang dijanjikan.
Mangsa membuat laporan polis pada 4.10 petang semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. – Bernama







