Pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya akan pastikan proses pendakwaan lebih bebas daripada pengaruh politik, kata Azalina.
KUALA LUMPUR: Pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat memastikan proses pendakwaan negara lebih bebas daripada pengaruh politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu juga memperkukuh akauntabiliti institusi undang-undang.
Beliau menekankan kebertanggungjawaban Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang negara.
BACA: Pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara perkukuh proses pendakwaan
“Yang lebih penting adalah peranan AG untuk kebertanggungjawaban dalam Mesyuarat Kabinet dan di Parlimen. Itulah matlamat utama,” katanya.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian pada majlis makan tengah hari bersama editor-editor media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan rang undang-undang pemisahan kuasa akan dibentangkan pada sesi Parlimen bermula 19 Januari.
Azalina berkata perbincangan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menunjukkan sokongan menyeluruh terhadap undang-undang berkenaan.
Rang undang-undang itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk diluluskan. – Bernama








