RUU pemisahan kuasa pendakwa raya dan peguam negara bakal bentang Januari ini, dijangka perkasa pendakwaan bebas dan elak konflik kepentingan.
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara dijangka mengukuhkan proses pendakwaan yang lebih bebas.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata langkah itu akan menangkis persepsi campur tangan eksekutif dalam kes berprofil tinggi.
Beliau menjelaskan implikasi pengasingan kuasa itu menyebabkan Peguam Negara tidak lagi mempunyai bidang kuasa dalam aspek pendakwaan.
“Kuasa berkaitan pendakwaan serta semua perkara yang melibatkan kes jenayah akan diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Pendakwa Raya,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan RUU itu sebagai undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen bermula 19 Januari.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Md Sam bersetuju pemisahan kuasa itu akan menepis tanggapan umum.
“Kedudukan dual fungsi utama ini menyebabkan Peguam Negara yang sekali gus merupakan Pendakwa Raya sering mengalami dilema,” katanya.
Peguam Razman Sahat berpandangan Peguam Negara akan kekal sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.
“Apabila pindaan ini dilaksanakan, peruntukan berkenaan akan berakhir dengan penubuhan sebuah badan baharu,” katanya.
Beliau menjangkakan ia dapat mengurangkan konflik kepentingan dari segi politik dan pendakwaan.
Peguam Mahmud Jumaat pula berkata pertindihan peranan telah lama menjadi kritikan.
“Contohnya, beberapa kes berprofil tinggi yang tidak diteruskan atau ditarik balik telah menimbulkan persoalan,” katanya.
Beliau menambah pemisahan kuasa ini akan memberikan mekanisme semak dan imbang yang jelas.
Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab menyifatkan RUU berkenaan sebagai reformasi institusi.
“Saya percaya bahawa terdapat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Beliau menyeru agar semua ahli Parlimen menyokong pindaan ini yang memerlukan dua pertiga undian untuk lulus.
Peguam Muhammad Amin Abdullah menyambut baik RUU itu dan menyifatkan langkah berkenaan membolehkan kedua-dua entiti menjalankan fungsi masing-masing secara lebih berkesan.
“Pengasingan kuasa tersebut akan memperkukuh institusi pendakwaan kerana Pendakwa Raya dapat berfungsi secara bebas,” katanya.








