Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia berpotensi bawa pelaburan baharu ke Perak khusus dalam sektor unsur nadir bumi bukan radioaktif
GOPENG: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang dimeterai antara Amerika Syarikat dan Malaysia berpotensi membuka laluan kepada kemasukan pelaburan baharu ke Perak khususnya dalam sektor Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran pelabur dari negara kuasa besar ekonomi global itu bagi meningkatkan penjanaan pendapatan negeri.
Beliau menyatakan perjanjian itu menggembirakan negeri-negeri di Malaysia termasuk Perak yang merupakan antara pengeluar NR-REE.
“Kalau sebelum ini kita berurusan dengan China, sekarang dengan adanya perjanjian ini kita boleh luaskan urusan dengan para pelabur dari AS khususnya bagi sektor ini,” katanya.
Saarani berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Zantat PolyCal Innovation Lab di Kawasan Industri Batu Kapur Keramat Pulai.
Beliau menegaskan mana-mana urusan perdagangan dengan pelabur luar juga perlu melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia yang bertindak selaku agensi penyelaras.
Berkaitan program hari ini, Saarani berkata Zantat Holdings Berhad memperuntukkan 8 juta ringgit bagi pembinaan makmal penyelidikan dan pembangunan industri kalsium karbonat.
Pembinaan makmal itu bertujuan memacu transformasi industri bahan semula jadi ke arah produk bernilai tinggi yang lestari serta inovatif.
Saarani menambah makmal itu turut membuka ruang penyelidikan baharu serta memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Makmal ini berperanan sebagai pusat inovasi yang menghubungkan dunia akademik dengan dunia industri,” katanya.
Beliau menjelaskan makmal tersebut menjadi ruang di mana teori bertemu realiti menjadikan Perak bukan sahaja pengeluar sumber asli tetapi juga pencipta penyelesaian berasaskan sains dan teknologi. – Bernama










