Friday, October 31, 2025
29.8 C
Malaysia
spot_img

Perjanjian Damai KL peringat keamanan tidak boleh dianggap remeh – PM

The Sun Webdesk

PM Anwar tekankan keamanan perlu dipupuk melalui dialog berterusan, sebut Gaza dan Ukraine dalam sidang APEC di Korea Selatan.

GYEONGJU: Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja merupakan peringatan yang membawa kesan mendalam bahawa keamanan tidak boleh dianggap remeh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pada masa sama mengingatkan kalangan anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) mengenai keadaan yang masih berlaku di Gaza dan Ukraine.

Anwar, yang baru sahaja selesai mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, menegaskan keyakinan beliau bahawa dialog dan kerjasama di peringkat serantau bukan sahaja bermanfaat malah juga penting.

“Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan. Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki.

“APEC pula terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan,” kata beliau semasa Intervensi Malaysia pada Dialog Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dengan Tetamu di sini, hari ini.

Beliau berkata begitu juga dengan kemakmuran, kedua-duanya mesti dipupuk dan dikekalkan melalui dialog dan kepercayaan.

Malaysia telah melaksanakan peranan penting dalam mengantara perjanjian damai antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu, serta diiktiraf dan mendapat pujian berterusan daripada Amerika Syarikat dan kalangan negara anggota ASEAN.

Pada Rabu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang turut berada di sini, terus memuji kepimpinan Malaysia, susulan kejayaan negara melaksanakan peranan sehingga membawa pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, minggu lepas.

Ketika menyampaikan ucapan khas pada Forum Perniagaan Ketua Pegawai Eksekutif APEC, Trump berkata dengan bantuan Malaysia, perjanjian damai itu berjaya dimeterai antara kedua-dua negara di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

“Selepas kira-kira dua hari, kami berjaya dengan bantuan Malaysia. Malaysia bertindak sebagai pengantara. Kami menggunakan kemudahan yang sangat baik yang ada di Malaysia,” kata beliau.

Perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL telah ditandatangani di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, manakala Trump dan Anwar menandatangani dokumen itu sebagai saksi.- Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img