Tuesday, October 28, 2025
27 C
Malaysia
spot_img

PM Anwar hargai 50 tahun hubungan mesra ASEAN-New Zealand

Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji hubungan mesra antara ASEAN dan New Zealand yang disifatkan beliau dibina berlandaskan kestabilan, kepercayaan serta sikap saling menghormati yang terbukti mampu bertahan mengharungi masa.

Bercakap pada majlis makan tengah hari gala sempena ulang tahun ke-50 dialog kerjasama kedua-dua pihak, beliau berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN dan New Zealand terhadap keamanan, kemakmuran serta kerjasama serantau.

“Kerjasama berterusan ini telah membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

Sejak 1977, kami tidak pernah berdepan sebarang masalah serius, yang membuktikan sikap saling menghormati, nilai-nilai bersama dan ikatan persahabatan yang kukuh,” katanya dalam ucapan ringkas.

Anwar turut mengalu-alukan komitmen baharu New Zealand untuk memperkukuh penglibatan dengan ASEAN melalui Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang baru ditubuhkan.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata CSP yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand hari ini membuka lembaran baharu dalam masa depan bersama kedua-dua negara.

Beliau turut menegaskan tekad New Zealand untuk terus memperkukuh hubungan dengan ASEAN sambil menekankan peranan blok serantau itu sebagai penghubung yang dinamik serta berdaya saing antara masyarakat dan ekonomi.

Luxon berkata hubungan rasmi New Zealand dengan ASEAN, yang terjalin sejak negara itu menjadi rakan dialog, terus berkembang dengan kukuh dari semasa ke semasa.

Beliau berkata ASEAN dan New Zealand mempunyai jalinan yang kukuh dalam pelbagai bidang termasuk komuniti, pendidikan, budaya, perniagaan dan pertahanan.

“Tonggak utama hubungan kita iaitu keamanan, kemakmuran dan rakyat, menjadi bukti kepada keluasan serta kepentingan kerjasama ini.

“CSP yang kita meterai pada sidang kemuncak ini, kurang sejam yang lalu, menetapkan hala tuju baharu yang amat memberangsangkan bagi masa depan bersama,” katanya.

Luxon juga berkata kedua-dua pihak akan menetapkan sasaran yang tinggi dan berusaha membawa hubungan mereka ke tahap lebih kukuh termasuk melalui penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand secara dwitahunan, kerjasama lebih rapat dalam sektor baharu yang sedang berkembang serta sokongan berterusan terhadap mekanisme yang diterajui blok serantau itu.

Hadir pada majlis itu ialah pemimpin-pemimpin ASEAN lain termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Presiden Filipina Ferdinand R.

Marcos Jr, Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chinh, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Prime Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Majlis Makan Tengah Hari Gala ASEAN-New Zealand turut diserikan dengan persembahan kapa haka yang penuh bertenaga, menyuntik semangat yang disulam dengan keindahan budaya ke dalam acara tersebut.

Related

spot_img

Latest

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img