Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menerima anugerah Order of the Republic, penghargaan tertinggi Turkiye, semasa lawatan rasmi ke negara itu.
ANKARA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima anugerah Order of the Republic semasa lawatan rasmi beliau ke Turkiye.
Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi republik berkenaan.
Ia diberikan sebagai menghargai peranan Anwar dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Turkiye.
“Anugerah ini merupakan satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada seorang pemimpin luar yang telah mendekatkan dan memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye,” katanya.
Sazali berkata anugerah itu akan disampaikan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Lawatan rasmi Anwar ke Turkiye ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala.








