Siasatan awal polis belum temui bukti mengesahkan dakwaan pegawai SPRM mengacukan senjata ketika serbuan rumah ahli perniagaan Albert Tei
SHAH ALAM: Polis masih belum menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan pegawai SPRM mengacukan senjata ketika serbuan di rumah ahli perniagaan Albert Tei.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan awal berdasarkan rakaman keterangan semua pegawai SPRM terlibat dan isteri Tei, yang merupakan pengadu.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes itu.
“Banyak saksi telah dipanggil bagi dirakam keterangan dan membantu siasatan, cuma saya tidak boleh dedahkan jumlahnya sekarang,” katanya dalam sidang media di sini.
Shazeli berkata ahli keluarga pengadu lain belum memberi keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian.
Polis turut menerima rakaman CCTV dari kediaman terbabit serta rakaman perbualan telefon untuk analisis forensik lanjut.
“Rakaman berkenaan memang wujud tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang,” katanya.
Pihaknya juga akan memanggil semula isteri Albert Tei bagi mendapatkan keterangan lanjut.
Polis telah membuka satu kertas inkuiri bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.
Azam berkata penahanan Albert Tei dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau juga menafikan berlaku situasi pegawai SPRM mengacukan senjata pada kepala ahli perniagaan itu. – Bernama







