Polis ingatkan orang ramai berhati-hati dengan panggilan kosong yang boleh rakam suara untuk eksploitasi AI bagi tujuan penipuan
KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang mematikan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara.
Tindakan tersebut berpotensi digunakan bagi tujuan eksploitasi suara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya belum menerima laporan berkaitan dakwaan mangsa menerima panggilan kosong yang dirakam suaranya.
Suara itu dikatakan boleh digunakan melalui aplikasi kecerdasan buatan bagi menipu kenalan mangsa.
“Bagaimanapun, orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati dan digalakkan untuk tidak menyebut maklumat peribadi ketika menerima panggilan mencurigakan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai membuat pengesahan dengan talian rasmi sekiranya menerima panggilan yang mendakwa melibatkan pihak berkuasa atau institusi kewangan.
“Sebarang panggilan atau mesej meragukan hendaklah segera dihentikan dan dilaporkan kepada polis,” tegas Rusdi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkongsian Facebook Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur berkaitan taktik terbaharu penipuan. – Bernama







