Polis Selangor lakukan pemeriksaan mengejut di 79 sekolah bagi mengukuh disiplin dan mencegah jenayah dalam kalangan pelajar.
SHAH ALAM: Sebanyak 79 sekolah termasuk asrama di Selangor diperiksa secara mengejut dan rawak sejak tiga hari lepas, bagi memperkukuh disiplin serta mencegah salah laku dalam kalangan pelajar.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata pemeriksaan melibatkan sekolah harian dan berasrama itu dilakukan bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat serta bebas daripada gejala tidak sihat.
“Setakat ini tiada isu besar dikesan, namun ini menunjukkan komitmen polis mencegah jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar supaya mereka berasa selamat dan dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran serta membina masa depan yang baik,” katanya.
Mohd Zaini berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam hari ini.
Beliau juga menggalakkan pelajar menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk menyalurkan maklumat terus kepada polis sekiranya mengesan sebarang salah laku di sekolah.
Selain itu, Mohd Zaini berkata sebanyak 1,219 kes salah laku direkodkan membabitkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Selangor untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini, dengan 265 kes diklasifikasikan sebagai buli manakala selebihnya merangkumi pelbagai kesalahan lain.
Beliau berkata pihaknya telah membuka 41 kertas siasatan iaitu sembilan berkaitan buli manakala 32 lagi membabitkan pelbagai salah laku dengan sebahagian besar kes tidak mempunyai keterangan mencukupi untuk siasatan diteruskan.
“Selangor mempunyai hampir 997,000 pelajar serta 60,000 guru, dan jumlah lebih 1,200 kes direkodkan hanya mewakili 0.0125 peratus daripada keseluruhan pelajar. Angka ini menunjukkan keadaan masih terkawal dan sehingga kini belum ada sekolah dikategorikan sebagai kritikal,” katanya.
Mohd Zaini berkata walaupun tiada sekolah dikategorikan kritikal, polis memandang serius isu disiplin dan buli di institusi pendidikan kerana mampu dicegah pada peringkat awal dengan peranan semua pihak termasuk ibu bapa.
Beliau berkata pencegahan bukan hanya melalui tindakan undang-undang, tetapi memerlukan kerjasama erat antara sekolah, komuniti, agensi kerajaan serta ibu bapa bagi memperkasakan tanggungjawab sosial bersama-sama.
Selain itu, Mohd Zaini berkata cadangan agar pegawai perhubungan sekolah (PPS) dilantik sebagai ahli ex–officio di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta rangkaian Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dapat mengukuhkan peranan PPS. – Bernama










