Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki dipukul oleh individu dipercayai anggota polis di Banting berdasarkan rakaman CCTV yang diterima ibu mangsa.
SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul oleh individu dipercayai anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting bulan lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 18 November.
Wanita berusia 39 tahun itu mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan anaknya ditampar.
Individu dalam rakaman itu dipercayai memperkenalkan diri sebagai polis.
“Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan ingin mencari barang bukti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.
Mohd Sufian meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di 03-3187 2222.








