Polis Selangor masih menunggu laporan MCMC untuk kenal pasti individu yang ugut peguam di Facebook berkaitan kes tembakan di Melaka
SHAH ALAM: Polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengenal pasti individu yang dipercayai memuat naik ugutan terhadap seorang peguam di media sosial.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata keterangan daripada peguam terbabit serta beberapa individu telah diambil bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata peguam yang mewakili tiga lelaki dalam insiden terbabit telah membuat laporan pada 5 Disember lepas setelah membaca ugutan dalam komen di aplikasi Facebook.
“Kami telah memohon bantuan MCMC untuk mendapatkan profil individu yang membuat komen (ugutan) terbabit dan masih menunggu maklum balas,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat dilaporkan berkata peguam terbabit membuat laporan selepas membaca komen ugutan di platform media sosial di pejabatnya di Petaling Jaya.
Komen itu dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes yang sedang dikendalikan oleh peguam berkenaan.
Pada 24 November lepas, polis Melaka dilaporkan menembak mati ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT selepas menetak seorang anggotanya yang cuba menahan mereka.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah.
Seorang lagi suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.
Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.
Jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta. – Bernama







