Rapid Penang akan ganti bas lama dengan 240 bas elektrik secara berperingkat, fasa pertama 75 unit bermula Mei, selari hala tuju mesra alam
GEORGE TOWN: Pulau Pinang memasuki fasa baharu pengangkutan awam dengan penggantian bas Rapid Penang kepada bas elektrik secara berperingkat bermula tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sebanyak 240 bas elektrik akan diperoleh dalam dua fasa.
Beliau berkata 75 bas bagi fasa pertama dijangka tiba dan beroperasi bermula Mei.
Pembelian 165 lagi bas untuk fasa kedua pula dimulakan tahun ini dengan jangkaan tiba penghujung 2027.
“Bagi memastikan operasi bas EV dapat dijalankan, kerajaan melalui Prasarana sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur pengecasan di depoh Rapid Penang,” katanya.
Loke berkata langkah itu selari dengan hala tuju baharu Prasarana yang memberi tumpuan kepada penggunaan bas mesra alam.
Beliau yakin pengenalan bas elektrik akan menjadi pengubah keadaan kepada sistem pengangkutan awam di negeri itu.
Rapid Penang juga akan menerima baki 60 daripada 70 bas diesel bersaiz 8.9 meter secara berperingkat menjelang akhir Februari.
Bas diesel itu adalah sebahagian daripada 175 bas kumpulan akhir daripada 310 bas yang diperoleh Rapid Bus sejak Julai 2025.
Mengenai kos perolehan, Loke berkata bas EV secara purata hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding bas diesel.
Anggaran harga bas elektrik adalah lebih RM1 juta sebuah.
Sementara itu, Loke memaklumkan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand menerima sambutan menggalakkan.
Sebanyak 50 buah van kini beroperasi di Pulau Pinang.
Susulan permintaan kerajaan negeri, Prasarana bercadang menambah 170 van bagi memperluas perkhidmatan itu.
Proses perolehan van tambahan dijangka bermula pada pertengahan kedua tahun ini.
“Penambahan ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya








