PM Anwar umum RUU hadkan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal akan dibentang dalam sesi Parlimen tahun ini
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RUU itu antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen.
“Semua jawatan mempunyai had tempoh. KSN (Ketua Setiausaha Negara) pun tidak boleh menjawat lebih daripada sepuluh tahun, dan prinsip yang sama terpakai kepada semua,” katanya.
Beliau berkata adalah wajar menyerahkan jawatan kepada generasi seterusnya selepas seseorang berjaya melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tertentu.
Anwar menyampaikan pengumuman itu dalam Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.
Pada Mac tahun lepas, beliau mengarahkan agar cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dikaji secara teliti dan mendalam.
Cadangan itu melibatkan proses yang rumit dan memerlukan pertimbangan secukupnya kerana ia bakal memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Tiga lagi RUU yang akan dibentangkan ialah pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat (FOI).
RUU pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menjadi perundangan pertama dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen yang bermula 19 Jan.
RUU Ombudsman bermatlamat memberikan mandat lebih luas bagi memperkukuh integriti dan ketelusan sektor awam negara.
“Pada masa sama, RUU yang akan dibentangkan ialah berkaitan Kebebasan Maklumat (FOI). Saya beri jaminan, soal keselamatan negara dan risikan tentunya memerlukan pengecualian,” kata Anwar.
Beliau berkata RUU FOI akan membabitkan perkara seperti tender projek dan pencegahan penyalahgunaan kuasa.
RUU itu dijangka dibentangkan untuk kelulusan Parlimen sesi ini atau sesi akan datang, dan dijangka diluluskan tahun ini juga.
Keputusan menubuhkan Ombudsman Malaysia dengan mandat lebih luas telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Negara (JKKTN) 2025 pada 8 Dis lepas.








