Saksi mata inkues Zara Qairina gambarkan malam 15 Julai di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sebagai ‘tegang’ dan ‘menakutkan’ dengan tiga kejadian
KOTA KINABALU: Seorang pelajar yang merupakan ‘saksi mata’ memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa pada malam 15 Julai 2025 keadaan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha digambarkan sebagai ‘tegang’ dan ‘menakutkan’.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir iaitu Noraidah Lamat berkata saksi baharu itu berkata berlaku tiga kejadian pada malam berkenaan iaitu pertama Zara Qairina disoal siasat oleh dua pelajar senior mengenai kes kecurian sebelum disoal lagi oleh dua pelajar bersama seorang lagi pelajar senior.
“Kejadian ketiga ialah pelajar senior membacakan satu surat yang menyatakan Zara Qairina ingin menjadi Badar (pengawas Badan Dakwah dan Rohani). Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara 10 hingga 20 minit di bilik asrama,” kata Shahlan kepada pemberita selepas prosiding inkues yang dijalankan secara tertutup di sini hari ini.
Shahlan berkata semasa kejadian, saksi juga memberitahu pelajar senior itu meminta penghuni bilik supaya ‘jangan tengok, jangan pasang telinga’ dan saksi juga berkata terdapat makian yang membuatkannya ketakutan.
Menjawab soalan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang bertanya sekiranya perkara itu sering terjadi di asrama, saksi memberitahu memang berlaku beberapa kali tetapi yang lebih menakutkan saksi ialah kejadian pada malam 15 Julai itu.
Shahlan berkata seorang lagi saksi yang dipanggil semula iaitu seorang pelajar memberitahu mahkamah, dia ada menerima helaian nota berwarna kuning daripada Zara Qairina yang diselitkan pada buku yang tertulis ‘bye kesayangan’.
Ketika ditanya maksud nota itu, saksi itu berkata Zara Qairina ingin memaklumkan bahawa dia akan ke musolla terlebih dahulu dan mereka berjumpa di tempat itu.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai tahun lepas, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, di Papar pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lepas telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Prosiding inkues bersambung Isnin ini, bagaimanapun ia akan dijalankan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.








