Sarawak rancang semula strategi pembangunan ekonomi dengan tumpuan kepada industri masa depan, teknologi tinggi dan ekonomi rendah karbon, kata Premier.
KUCHING: Sarawak bersedia merangka semula strategi pembangunan ekonominya dengan memberi tumpuan kepada industri masa depan, teknologi tinggi dan ekonomi rendah karbon.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu diinspirasikan kejayaan Taman Perindustrian Suzhou di China selepas pertemuan dengan pihak berkuasanya.
Beliau berkata kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik antara Suzhou dengan kawasan perindustrian yang dicadangkan di Sarawak.
“Taman Perindustrian Suzhou yang bermula sebagai inisiatif bersama antara Singapura dan China, telah berkembang sejak 30 tahun lepas,” katanya dalam kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Abang Johari berkata Sarawak sedang beralih menuju ekonomi moden dan pendekatan membangunkan kawasan perindustrian mesti seiring keperluan era ekonomi baharu.
“Saya berpandangan bahawa kita kini sedang menuju ke arah ekonomi moden,” katanya.
Pembangunan perindustrian masa depan di Sarawak akan berteraskan prinsip rendah karbon dan teknologi tinggi.
Sumber gas negeri akan digunakan sepenuhnya untuk menyokong industri rendah karbon sebagai sumber tenaga lebih bersih.
Abang Johari akan mengadakan mesyuarat khas sekembalinya ke Sarawak bagi membincangkan cadangan strategi pembangunan tersebut.
Kawasan Tanjung Embang di Bahagian Samarahan dikenal pasti berpotensi sebagai hab teknologi maju dalam era kecerdasan buatan.
Ia akan disokong oleh infrastruktur yang diperkukuh dan sumber yang ada di negeri ini.
“Sarawak kini merancang membangunkan taman perindustriannya untuk memenuhi pasaran ASEAN yang mempunyai sekitar 800 juta penduduk,” katanya.
Perancangan itu juga membuka peluang di luar rantau ASEAN.







