Selangor rekod 6.4 juta pelawat Jan-Sept, yakin sasaran 8 juta pelancong untuk Tahun Melawat Selangor 2025 boleh dicapai bulan ini.
GEORGE TOWN: Selangor yakin sasaran lapan juta pelancong untuk Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) mampu dicapai bulan ini.
Keyakinan itu berdasarkan prestasi ketibaan pelawat dari Januari hingga September yang telah mencecah 6.4 juta orang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Sue Lim berkata Tourism Selangor akan memperhebat promosi produk ekopelancongan, pelancongan pelayaran dan pelancongan perubatan bagi mencapai sasaran tersebut.
“Setakat ini kita telah capai 80% daripada sasaran lapan juta pelawat tempatan dan antarabangsa yang direkodkan datang ke Selangor dengan resit pelancongan mencecah RM11.4 bilion,” katanya.
Beliau yakin sasaran boleh dicapai malah mungkin dilangkau, mengambil kira jumlah pelancong harian ke Selangor yang paling ramai berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ng berkata demikian selepas program Selangor Kan Ada! Cruise Trip 2025 di atas kapal persiaran mewah Piano Land di sini.
Inisiatif pelancongan pelayaran yang dilancarkan sejak November lepas dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada peningkatan jumlah pelawat.
“Sambutan terhadap pelancongan pelayaran adalah baik dan masih dalam fasa untuk diperkasakan,” jelas Ng.
Potensi industri ini sangat besar dan melibatkan pelancong domestik serta antarabangsa, namun ia bergantung kepada jajaran pelayaran yang ditawarkan.
Inisiatif itu juga bertujuan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama dan bukan sekadar persinggahan.
Perubahan itu dijangka memberi impak ekonomi tinggi kepada sektor hotel, makanan serta destinasi pelancongan di Selangor.
Selain itu, Ng berkata pihaknya akan memberi penekanan kepada pelancongan seni dan budaya seiring Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Setakat ini perkampungan budaya yang ada hanya Mah Meri di Pulau Indah dan itu belum cukup,” katanya.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan EXCO Perumahan dan Kebudayaan serta PADAT untuk menonjolkan keunikan budaya Selangor.
Ng yakin tawaran budaya yang lebih komprehensif akan disukai oleh pelancong domestik dan antarabangsa.







