the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, January 1, 2026
23.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Siti Nurhaliza terima anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka

Biduanita Negara Siti Nurhaliza terima Anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka, janji terus martabatkan lagu tradisional negeri bersejarah itu.

MELAKA: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin melangkah ke tahun baharu dengan menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka.

Penyanyi tersohor itu menyifatkan anugerah berkenaan sebagai suntikan semangat untuk terus berkarya serta menyumbang kepada pemerkasaan seni, budaya dan pelancongan negeri bersejarah itu.

“Saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Melaka atas pengiktirafan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0, serta Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, Klebang.

Siti Nurhaliza menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam usaha memartabatkan identiti Melaka, terutamanya yang melibatkan lagu berunsur tradisional.

“Jika ada peluang dan jemputan, insya-Allah saya tiada masalah untuk terlibat, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan lagu berunsur tradisional dan kempen yang memartabatkan identiti Melaka,” ujarnya.

Mengulas mengenai lagu Senandung Anak Melaka yang kini menjadi siulan ramai, beliau berkata beliau terbuka untuk terus menghulurkan kerjasama mempopularkan lagu-lagu tradisi pada masa hadapan.

“Menarikkan lagu itu dan insya-Allah jika ada lagu baharu, saya tiada masalah untuk mempopularkannya. Lagu ini memang sudah sedap,” katanya.

Pada majlis sama, pencipta lagu tema TMM berjudul Senandung Anak Melaka Mohd Fauzi Mohammad turut menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Pemerkasaan Seni Tradisional Melaka.

Duta Setiakawan Pelancongan Melaka Datuk Fan Bingbing pula menerima Anugerah Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa Melaka atas peranannya memperkukuh jaringan promosi budaya dan pelancongan negeri itu.

Kesemua anugerah berkenaan disampaikan sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan tokoh-tokoh terbabit dalam mempromosikan Melaka sepanjang tempoh Tahun Melawat Melaka.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Lebih 40,000 pengunjung membanjiri Encore Melaka bagi menyaksikan persembahan istimewa Biduanita Negara itu, sekali gus menambah kemeriahan sambutan ambang tahun baharu.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories