Inisiatif Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di bawah Dasar Air Negara bantu kurangkan permintaan air terawat dan risiko banjir kilat di kawasan bandar
KUALA LUMPUR: Inisiatif Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) diperkenalkan di bawah Dasar Air Negara dan Pelan Transformasi Air 2040 bagi menyokong pengurusan air secara mampan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata inisiatif itu dapat mengurangkan permintaan air terawat dan berfungsi sebagai sokongan semasa gangguan bekalan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata ia menggunakan tenaga yang lebih rendah berbanding sumber konvensional.
“Kementerian melalui NAHRIM telah melaksanakan beberapa intervensi utama bagi mengarusperdanakan penggunaan SPAH merentas komuniti, premis kerajaan dan sektor swasta,” katanya di Dewan Negara.
Fadillah menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai pelan strategik untuk memanfaatkan potensi air hujan sebagai sumber bekalan semasa musim kemarau.
Antara usaha yang dijalankan termasuk Pembangunan Perisian Tangki NAHRIM 2.0 pada 2021.
Perisian itu menyediakan simulasi dalam talian untuk menentukan saiz tangki SPAH yang optimum dan menilai kecekapan simpanan.
Kajian Pelan Induk Sistem Bekalan Air Konjuntif di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dijalankan pada 2017.
Kajian itu untuk mengenal pasti potensi sumber air alternatif termasuk air hujan di kawasan bandar.
Pewartaan Pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 bagi pelaksanaan SPAH dibuat oleh KPKT pada 2011.
Sebanyak 11 negeri di Semenanjung Malaysia telah menggunapakai pewartaan itu.
Projek fizikal SPAH di premis kerajaan dan swasta melibatkan 16 projek sejak 2001.
Projek-projek tersebut termasuk pemasangan tangki, kolam takungan dan sistem IoT untuk pemantauan.
Secara keseluruhan, projek-projek tersebut telah memanfaatkan lebih 1,000 pengguna mengikut keperluan setempat.
Berdasarkan kajian NAHRIM, pelaksanaan SPAH memberi impak langsung kepada pengurangan risiko banjir kilat di kawasan bandar.
Kajian di Taman Wangsa Melawati menunjukkan SPAH mampu mengurangkan aliran hujan puncak antara 10% sehingga 20%.
Kajian di Lembangan Sungai Damansara mendapati penggunaan SPAH berskala luas boleh mengurangkan kawasan banjir antara 35% hingga 50%.
Pengurangan bergantung kepada kapasiti takungan di setiap bangunan.
Sehingga 30% penggunaan air terawat dapat dijimatkan sekiranya SPAH diaplikasikan secara berkesan.
Air hujan itu dimanfaatkan bagi kegunaan luaran seperti basuhan kenderaan dan penyiraman landskap.
“PETRA akan terus menilai keberkesanan inisiatif ini melalui kajian impak hasil projek perintis naik taraf kolam takungan banjir,” kata Fadillah.
Usaha memperluas penggunaan SPAH akan diteruskan bagi mengukuhkan daya tahan negara terhadap musim kemarau.
Ia juga bagi memastikan keterjaminan bekalan air untuk jangka panjang.
Menjawab soalan tambahan mengenai insentif, Fadillah berkata cadangan subsidi atau sokongan kewangan akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan.
Beliau menegaskan semua projek SPAH baharu akan menggunakan tangki simpanan air hujan untuk tujuan penjimatan.
“Air hujan itu bukan untuk minuman atau makanan, tetapi bagi kegunaan lain seperti menyiram tanaman,” katanya.
Dengan adanya takungan air hujan, air tidak akan terus mengalir ke saluran dan ini dapat mengurangkan risiko banjir.
Pengurangan risiko banjir itu terutamanya di kawasan bandar. – Bernama







