SPRM jalankan Ops Heart, periksa empat lokasi dan bekukan 55 akaun bank bernilai RM15.8 juta dalam siasatan kes IJM.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melaksanakan pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan semalam dalam siasatan kes Ops Heart membabitkan IJM Corporation Bhd.
Siasatan itu berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 2.5 billion.
Operasi itu dilaksanakan termasuk di kediaman dan pejabat seorang daripada pengurusan tertinggi IJM.
SPRM turut membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM 15.8 juta.
Siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Rakaman pernyataan dua pengurusan tertinggi syarikat terbabit yang bermula semalam disambung hari ini dan lima saksi lagi akan dipanggil.
“Hingga kini sebanyak sembilan rakaman pernyataan telah diambil termasuk dua pengurusan tertinggi syarikat terbabit,” menurut sumber.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
SPRM sebelum ini dilaporkan sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM dengan seorang anggota pengurusan tertinggi bergelar Tan Sri dan seorang penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.








