Panggilan ke Talian HEAL 15555 meningkat lebih dua kali ganda kepada 90,981 pada tahun lepas, didorong oleh kesedaran dan tekanan hidup.
PUTRAJAYA: Talian bantuan kesihatan mental kebangsaan, HEAL 15555, merekodkan peningkatan panggilan lebih dua kali ganda pada tahun lepas.
Sebanyak 90,981 panggilan diterima berbanding hanya 42,990 pada tahun 2024, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Majoriti pemanggil adalah dari kumpulan umur 18 hingga 35 tahun.
“Sukar untuk saya katakan apa punca (peningkatan panggilan) tapi boleh kita bayangkan hari ini semakin ramai yang bersedia ke depan mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau menyenaraikan tekanan hidup dan peningkatan kesedaran sebagai antara faktor penyumbang.
Secara keseluruhan, talian itu menerima 163,709 panggilan dari Oktober 2022 hingga Disember tahun lepas.
Daripada jumlah itu, 125,417 atau 77% klien menerima bantuan sokongan emosi.
Selebihnya 38,292 klien diberikan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.
Talian itu juga mengendalikan 451 kes krisis tingkah laku bunuh diri.
Ini merangkumi 294 kes idea bunuh diri yang diberikan intervensi.
Sebanyak 157 kes cubaan bunuh diri pula dirujuk dengan mengaktifkan MERS999.
Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kecemasan memastikan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.








