Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin sahkan tiada pegawai ATM bertugas di Sudan, kedua-dua pegawai pemerhati UNISFA sudah pulang ke Malaysia.
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mempunyai pegawai yang bertugas di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dua pegawai pemerhati ATM yang berkhidmat di bawah misi Pasukan Keselamatan Interim PBB untuk Abyei (UNISFA) telah menamatkan perkhidmatan masing-masing.
“Kedua-dua pegawai berkenaan kini telah selamat kembali ke tanah air dan melapor untuk tugasan baharu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan penempatan pegawai pemerhati ATM sebelum ini adalah di Abyei, kawasan sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan.
Lokasi tersebut terletak kira-kira 815 kilometer dari lokasi konflik semasa di El Fasher.
Mohamed Khaled berkata pihaknya mengambil maklum situasi terkini di El Fasher yang melibatkan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
“Pihak PBB diyakini akan terus menilai tahap keselamatan di Sudan bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan dalam keadaan yang stabil dan selamat,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia kekal komited untuk terus menyokong usaha keamanan global melalui penugasan pegawai pemerhati ATM di bawah panji PBB apabila keadaan mengizinkan.
Menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, RSF menawan El-Fasher pada 26 Oktober lepas dan didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa.
Konflik itu telah meragut ribuan nyawa dan memaksa berjuta-juta penduduk berpindah. – Bernama









