Polis tahan wanita 21 tahun disyaki dera anak perempuan lima tahun di Sentul, mangsa alami kecederaan teruk dan hilang gigi.
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita berusia 21 tahun kerana disyaki mendera anak perempuannya di sebuah kediaman di Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Jumaat.
Mangsa berusia lima tahun mengalami kesan kecederaan teruk di beberapa bahagian badan termasuk kepala, telinga, mata, tangan, kaki dan kehilangan gigi hadapan.
Mangsa dipercayai didera dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah didera sejak dua minggu lepas,” katanya dalam kenyataan.
Fadil berkata suspek direman selama enam hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.








