the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, December 17, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Zambry: Pengiktirafan UEC perlu dinilai dalam sistem pendidikan sedia ada

Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan isu pengiktirafan UEC perlu dinilai secara menyeluruh dalam kerangka sistem pendidikan negara, bukan dijadikan bahan politik.

SERDANG: Sebarang perbincangan mengenai pengiktirafan sijil pendidikan termasuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu dinilai secara menyeluruh dan objektif dalam kerangka sistem pendidikan negara sedia ada.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata isu itu tidak wajar dijadikan bahan politik semata-mata.

Pendekatan sedemikian boleh menjejaskan objektif dan hala tuju pembangunan pendidikan negara.

Beliau menegaskan isu melibatkan pelbagai jenis sijil tidak boleh dilihat secara terpisah.

Ia perlu dinilai berdasarkan keseluruhan ekosistem pendidikan sedia ada termasuk aspek bahasa dan sejarah.

“Perbincangan mengenai apa-apa sijil hendaklah dilihat dalam konteks sistem kita yang ada, termasuk dari segi bahasa dan sejarah, dan bukan dibawa kepada perlawanan atau permainan politik yang keterlaluan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian dan Training of Trainers (ToT) Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Zambry berkata pendekatan beremosi dalam membahaskan isu pendidikan hanya akan mengaburkan penilaian terhadap objektif sebenar.

Objektif utama ialah pembangunan sistem pendidikan negara yang seimbang dan berteraskan kepentingan nasional.

Beliau berpendapat isu itu tidak harus dijadikan sebagai bahan politik semata-mata yang akhirnya menjurus kepada perbahasan politik.

“Apabila berlakunya begitu, ia akan turut serta dengan soal emosi dan sebagainya. Hal-hal yang sebegini hendaklah dilihat dalam konteks Perlembagaan, asas pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara untuk membina sebuah sistem pendidikan yang berteraskan kepada negara kita,” katanya.

Pada 12 Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata sebarang tuntutan soal bahasa sama ada bahasa Inggeris atau pengiktirafan UEC yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories