KUALA LUMPUR:Tekanan terhadap mata wang ringgit berbanding dolar US diharap akan berkurangan apabila isu siling hutang Amerika Syarikat (AS) selesai dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata kerajaan sedang menunggu perkembangan terkini berhubung isu siling hutang AS dijangka diselesaikan dalam dalam tempoh lima hingga enam hari lagi sebelum mengambil sebarang tindakan.

Kerajaan AS sedang berusaha menyelesaikan isu siling hutang itu secepat mungkin, manakala Presiden AS Joe Biden juga menyebut bahawa pentadbirannya akan cuba menyelesaikan isu tersebut sebelum 6 Jun depan.

“Tinggal beberapa hari sahaja lagi (sebelum tarikh akhir), kita harap perkara itu selesai, maka ringgit harapnya tidak sebagaimana apa yang berlaku hari ini,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengadakan lawatan rasmi ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendengar taklimat berhubung kedudukan pasaran modal dalam negara.

Sementara itu, Ahmad berkata Pengerusi Eksekutif SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin menerusi taklimat disampaikan beliau turut menegaskan bahawa pelabur-pelabur yang memegang dolar US berdepan situasi ‘stalemate’ (kebuntuan) apabila kemelut siling hutang AS tidak diselesaikan.

“Justeru, apabila siling hutang US boleh ditingkatkan, pegangan terhadap dolar US akan berkurangan dan permintaan terhadap dolar US turut berkurangan seterusnya menyebabkan tukaran ringgit berbanding dolar US akan berkurangan,“ katanya.

Menurut laporan media antarabangsa, tarikh akhir berhubung kemelut siling hutang AS dilanjutkan sehingga 5 Jun depan sebelum negara itu berdepan masalah kehabisan aliran wang tunai.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata jumlah aduan mengenai penipuan atau scam yang diterima Suruhanjaya Sekuriti (SC) tahun lalu mencatatkan peningkatan 100 peratus kepada 1,124 aduan berbanding 548 aduan pada 2020.

Sebanyak 60 peratus daripada jumlah aduan diterima SC membabitkan penipuan pelaburan terutama secara dalam talian, membabitkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

“Sehubungan itu, pihak SC telah dan akan mengambil langkah pre-emptif termasuk melalui ‘Alert List’, menyekat laman sesawang dan media sosial serta mengeluarkan ‘notis cease and desist’ (notis pemberhentian),“ katanya. -Bernama