KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini diberitahu penyanyi dan pelakon Aliff Aziz atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz, enggan melafazkan cerai terhadap isterinya yang juga pelakon Bella Astillah.

Peguam Syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili Aliff, 33, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan perceraian difailkan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, dan memohon perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Terdahulu, Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat bertanyakan kepada Aliff sama ada pelakon lelaki itu bersetuju dengan perceraian tersebut dan Aliff dengan nada tegas menjawab, “tidak”.

Disoal sekali lagi oleh hakim syarie itu adakah benar defendan (Aliff) tidak bersetuju dengan perceraian tersebut, Aliff menjawab: “Benar, tidak setuju”.

“Ini bukan keputusan yang boleh difikirkan dalam masa sehari, saya perlukan masa untuk sediakan keputusan yang besar,” kata Aliff yang turut memaklumkan beliau masih sayang keluarganya.

Sementara itu, Peguam Syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Bella memohon supaya Aliff mempertimbangkan sekali lagi jawapannya, berhubung permohonan perceraian berkenaan.

“Perbalahan (kedua-dua pihak) berlaku sehingga ke luar mahkamah dan menjadi tarikan media sosial. Jadi saya mohon supaya defendan (Aliff) ambil masa sepuluh minit untuk berfikir dan membuat keputusan (cerai) ini,” kata Azmi.

Bagaimanapun, Aliff tetap dengan pendiriannya dan tidak bersetuju untuk bercerai dengan isterinya itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan bagi laporan JKP. Dalam prosiding hari ini Bella melantik kakak angkatnya, manakala Aliff pula melantik ibunya sebagai wakil JKP masing-masing.

Pada 11 Mac lepas, Bella memfailkan permohonan cerai secara fast track terhadap Aliff mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, atas alasan mereka sudah tiada persefahaman dan tiada mawaddah (cinta dan kasih sayang).

Perceraian fast track merupakan satu proses yang mana pasangan yang bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes mereka.

Pasangan itu yang berkahwin pada 9 Sept 2016 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Sementara itu, Bella, yang memakai jubah biru ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau tidak menyangka perkara (cerai) itu tidak dapat diselesaikan hari ini.

“Siapa yang tidak sayangkan rumah tangga dan saya percaya tiada siapa yang nak berkahwin kemudian cerai berai. Ini kali kedua saya turun naik mahkamah,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Aliff memohon doa daripada semua pihak agar urusan mereka dipermudahkan.