• 2025-09-01 10:11 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kapal flotila telah berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol menuju ke Gaza semalam dengan membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas.

Lebih daripada 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara menyertai misi ini, termasuk 15 wakil Malaysia.

Delegasi Malaysia diterajui oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama rakan-rakan NGO.

Mereka menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) yang menuntut pembukaan laluan bantuan serta penghentian segera serangan ke atas Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia merangkap Chef de Mission Malaysia Datuk Sani Araby berkata penyertaan Malaysia menzahirkan sokongan nyata terhadap perjuangan kemanusiaan.

“Delegasi Malaysia disambut penuh hangat oleh masyarakat antarabangsa ketika Jalur Gemilang berkibar di Barcelona,” katanya.

Beliau menegaskan misi flotila ini adalah bukti dunia bangkit bertindak dan bukan sekadar berbicara.

“Malaysia dihormati kerana keberanian dipimpin Perdana Menteri selaku penaung Gerakan Sumud Nusantara, yang disusuli dengan tindakan tegas di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap anggota Jawatankuasa Induk GSF Nadir Al-Nuri menegaskan flotila itu adalah sebahagian daripada arus kebangkitan global.

Beliau menyatakan flotila menolak pengepungan Gaza dan menuntut hak yang sama untuk rakyat Palestin.

“Dari Barcelona hingga Kuala Lumpur, dari Asia Tenggara hingga seluruh dunia, kita mesti bersatu menuntut hak yang sama iaitu hentikan kebuluran segera, hentikan perang Gaza dan buka koridor kemanusiaan di Rafah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bangkit memberikan sokongan.

Fasa seterusnya akan menyaksikan 15 delegasi Malaysia kumpulan kedua berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September ini.

Kumpulan ketiga Malaysia kini berada di Tunisia untuk menyertai misi kemanusiaan ini.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza. – Bernama