Your Title

IPOH: Jabatan Imigresen (JIM) Perak menahan 38 pendatang tanpa izin dalam serbuan di 22 premis berasingan di sekitar daerah Kinta dan Perak Tengah, awal pagi tadi.

Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata serbuan itu disertai 12 pegawai imigresen yang bertindak hasil risikan dan pemantauan Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa JIM Perak bermula 11 malam hingga 4 pagi tadi.

“Kesemua pendatang tanpa izin itu terdiri daripada 28 lelaki, lapan wanita dan dua kanak-kanak berusia lingkungan 1 hingga 52 tahun melibatkan warga India, Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, Meor Hezbullah dalam kenyataan berasingan berkata lapan pendatang tanpa izin ditahan dalam serbuan di enam premis membabitkan kedai makan, rumah penginapan dan kilang di sekitar daerah Larut, Matang dan Selam, tengah malam tadi.

Beliau berkata sebanyak 17 pegawai imigresen terlibat dalam serbuan itu bermula 6.35 petang semalam hingga 12.40 tengah malam tadi.

“Kesemua warga Thailand dan Indonesia itu berusia lingkungan 12 hingga 51 tahun terdiri daripada tiga lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak,” katanya.

Mereka katanya ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.