KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 701 individu termasuk 22 wanita atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Hawk dan Ops Tapis yang dilaksanakan di negeri itu bermula 26 Feb hingga Rabu lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun.

Beliau berkata dalam operasi selama 10 hari melibatkan 19 pegawai, 128 anggota dan 10 polis bantuan itu, sebanyak 502 serbuan dengan 933 pemeriksaan telah dilakukan.

“Pihak JSJN telah membuat serbuan ke atas 28 kawasan hotspot atau sarang penagihan dadah di Felda di seluruh daerah.

“Daripada 701 ditahan, sebanyak 69 orang ditahan di bawah kategori kesalahan bekalan/pengedaran, 155 kesalahan memiliki dan 477 bagi kesalahan urin. Lapan lelaki ditangkap atas kesalahan ‘wanted person’ bagi kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Yahaya berkata sebanyak 40 tangkapan berpotensi dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Yahaya, pelbagai jenis dadah telah dirampas terdiri daripada 130.05 gram (g) heroin, syabu (224.71g), ganja (40.91g), pil yaba (75.79g), pil eramin 5 (26.45g), air ketum (47.65 liter), daun ketum (7.2 kilogram) dan cecair kodein (0.20 liter) dengan nilai keseluruhan lebih RM61,000.

Melalui operasi itu juga, JSJN Pahang turut menyita dua motosikal dan wang tunai bernilai lebih RM5,000. - Bernama