PASIR PUTEH: Polis Kelantan merekodkan 90 kes jenayah seksual di negeri itu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ia melibatkan 49 kes rogol, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (26), liwat/luar tabii (enam), mengedar gambar lucah (lima) dan menunjukkan isyarat lucah (empat).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cinta dan Air Mata Peringkat Kebangsaan di Jeram Mengaji di sini hari ini.

Program selama tiga hari bermula Ahad lepas itu melibatkan penyertaan 100 peserta terdiri dalam kalangan pemimpin pelajar dan ahli pembimbing rakan sebaya dari politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.

Muhamad Zaki berkata program berkenaan merupakan platform terbaik untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada peserta dalam usaha memastikan negara bebas daripada masalah dadah dan sosial remaja.

Sementara itu Muhamad Zaki dalam satu kenyataan menafikan berlaku rampasan dan cubaan kemasukan dadah jenis Fentanyl di Kelantan seperti dilaporkan media semalam.

Menurutnya perwakilan Parlimen Thailand mengadakan satu perjumpaan bersama polis Kontinjen Kelantan pada Jumaat lepas dan membincangkan beberapa isu jenayah rentas sempadan termasuk isu dadah Fentanyl.

“Pihak perwakilan Parlimen Thailand memaklumkan terdapat cubaan masuk dadah jenis Fentanyl di sempadan Myanmar-Thailand,” katanya.

Bagaimanapun Muhamad Zaki berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif termasuk meningkatkan risikan dan kawalan di sempadan dalam usaha menghalang kemasukan dadah itu yang mempunyai kesan 100 kali lebih kuat daripada heroin.