KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya satu perubahan nyata dilakukan bagi meningkatkan penglibatan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor swasta, termasuk di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC).

Beliau berkata ini penting kerana berdasarkan laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, peratusan wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat sektor swasta hanya 29 peratus sehingga 31 Dis 2022, sedangkan di sektor kerajaan peratusan wanita di peringkat pembuat keputusan menunjukkan kemajuan, walaupun terdapat ruang untuk diperbaiki.

“Bagi sektor awam, penjawat awam wanita yang berada di peringkat pembuat keputusan melalui pengisian gred utama C dan ke atas telah meningkat kepada 38.8 peratus.

“Bagi sektor politik pula, walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 menunjukkan peratus perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat menurun daripada 14.9 peratus pada 2021 kepada 13.5 peratus pada 2022, tetapi dapat lihat ada peningkatan jumlah calon wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata semua syarikat swasta wajar memberi perhatian kepada perubahan berkenaan dengan memberi peluang pelantikan baharu atau kenaikan pangkat di peringkat pembuat keputusan kepada wanita berkelayakan.

“Saya mahu perubahan dan tentunya perubahan itu melibatkan wanita yang punya kelayakan...mesti ada kemajuan nyata supaya kita dapat tekankan peranan wanita,” katanya yang turut bercadang untuk menambah bilangan senator dalam kalangan wanita sebagai memperkasakan lagi golongan berkenaan.

Menyentuh mengenai inisiatif i-Sayang yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perdana Menteri berkata terdapat keperluan dalam menggesa ketua-ketua jabatan kerajaan, GLC serta GLIC untuk memastikan pekerja mereka melakukan caruman syer kepada akaun KWSP isteri.

“i-Sayang ialah satu inisiatif yang membolehkan suami memindahkan dua peratus caruman KWSP syer secara sukarela ke akaun KWSP isteri, tetapi nak tambah sedikit sumbangan pada isteri pun jadi masalah.

“Kelihatan seperti ada yang keberatan untuk berbuat demikian, jadi saya rasa kita perlu menggesa ketua jabatan-jabatan kerajaan, GLC dan GLIC, memastikan pekerja mereka membuat sumbangan ini, demi menjaga kesejahteraan isteri dan ibu kepada anak-anak mereka,” katanya.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image