KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perhimpunan yang dijadualkan pada Sabtu ini perlu berlangsung secara aman dan tertib.
Beliau menekankan kepentingan menghormati prinsip demokrasi serta memastikan keselamatan awam tidak terjejas.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, “Kerajaan MADANI konsisten dalam mempertahankan hak bersuara, termasuk bagi mereka yang menentang kerajaan, selagi ia tidak melanggar undang-undang.”
Anwar turut mengarahkan pihak polis memberikan kerjasama sewajarnya bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar.
“Kita merayakan demokrasi dengan akal waras dan sikap bertanggungjawab,“ katanya.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, sebelum ini melaporkan bahawa 60 aduan telah diterima berhubung perhimpunan tersebut.
Acara itu dijangka disertai 10,000 hingga 15,000 peserta, termasuk wakil NGO, mahasiswa, dan orang awam.
Sementara itu, kerajaan melancarkan gerakan ‘Bersama Malaysiaku’ sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Gerakan ini bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan patriotisme melalui penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Orang ramai dijemput menyertai gerakan ini dengan memuat naik gambar di laman web rasmi bersamamalaysiaku.malaysiamadani.gov.my sebelum 30 September.
Foto terpilih akan dipaparkan di platform media sosial kerajaan. – Bernama