KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu merampas sebuah bot nelayan Vietnam bersama 15 kru termasuk tekong dalam operasi bersepadu Naga Barat dan Kuda Laut, kira-kira 3 petang semalam.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tersebut ditahan di kedudukan 100 batu nautika Timur Laut dari Kuala Terengganu.

“Kru yang ditahan berumur antara 20 hingga 50 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil rampasan termasuk bot, 700 kilogram hasil tangkapan dan 1,000 liter bekalan diesel dianggarkan bernilai RM1.5 juta,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua kru yang ditahan dibawa ke jeti APMM negeri untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Muhammad Suffi juga meminta bantuan orang ramai untuk segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan kegiatan jenayah di laut secara terus kepada APMM negeri di talian 09-6223657 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. - Bernama