• 2025-10-09 09:17 PM

KUALA LUMPUR: ASEAN dan rakan kongsi Campur Tiga perlu memperkukuh kerjasama dalam usaha memperkasa golongan wanita melalui pendigitalan dengan memfokus kepada pembangunan kapasiti, inovasi serta platform rentas sempadan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Rubiah Wang mencadangkan tiga bidang utama kerjasama sebagai hala tuju serantau dalam ucaptamanya di Forum ASEAN+3 mengenai Wanita dan Pendigitalan.

“Pertama, pembangunan kapasiti memerlukan perkongsian modul latihan dan literasi digital supaya wanita di kawasan luar bandar di semua negara dapat memanfaatkan amalan terbaik.”

“Kedua, pembiayaan dan hab inovasi perlu meneroka potensi sokongan kepada syarikat pemula, koperasi dan perusahaan yang dikendalikan oleh wanita dengan menyediakan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan, teknologi dan bimbingan.”

“Ketiga, platform serantau dengan mempromosikan e-dagang rentas sempadan boleh memberikan akses kepada pasaran yang lebih luas kepada usahawan wanita luar bandar di dalam ASEAN dan Asia Timur.”

Beliau menegaskan tiada satu negara pun yang mampu bergerak secara solo dalam era pendigitalan yang pesat dengan kerjasama sebagai kunci utama kejayaan.

Rubiah mengulangi komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan ASEAN dan rakan kongsi Campur Tiga dalam membina masa depan digital yang inklusif.

“Peralatan digital membolehkan wanita di luar bandar menjual produk, mempelajari kemahiran, mengakses maklumat mengenai kesihatan dan menembusi pasaran baharu.”

“Pendigitalan bukan sekadar teknologi malah merupakan peluang, pemerkasaan dan kesaksamaan untuk wanita luar bandar.”

Beliau merujuk kepada Pelan Tindakan Rangka Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (2021-2025) yang menetapkan keperluan mekanisme institusi bagi menggalakkan penglibatan wanita.

Pelan tindakan itu bertujuan mempercepat transformasi luar bandar dan mengurangkan kemiskinan dengan mengintegrasikan wanita luar bandar, golongan belia dan kumpulan rentan ke dalam program pembangunan.

Pelan Induk Digital ASEAN 2025 menyokong kesemua matlamat ini dengan memberi tumpuan kepada transformasi digital yang inklusif serta usaha merapatkan jurang digital.

Daripada perspektif Malaysia, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah signifikan ke arah pendigitalan luar bandar menerusi inisiatif JENDELA.

“JENDELA telah berjaya menghubungkan 839 komuniti luar bandar dan Orang Asli melalui sambungan satelit termasuk kawasan paling sukar dicapai.”

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia 2024, akses Internet dalam kalangan isi rumah meningkat kepada 90.3% pada 2024 berbanding 89.8% tahun sebelumnya.

Rubiah mengetengahkan platform Desamall di bawah kementeriannya yang menghubungkan usahawan luar bandar dengan pasaran lebih luas.

Sejak dilancarkan pada 2019, Desamall telah berjaya menarik lebih 7,100 usahawan dengan lebih 80% daripadanya adalah wanita.

Program Pendigitalan Usahawan telah memberikan kemahiran perniagaan digital yang penting kepada 4,450 usahawan termasuk akses kepada pasaran, pembiayaan dan penciptaan kandungan.

Menerusi Institut Kemajuan Desa, pelbagai program latihan dan kepimpinan sedang dilaksanakan untuk memperkukuh penyertaan wanita dalam ekonomi digital.

Seiring dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia, dua acara utama telah dianjurkan iaitu Dialog Pelbagai Pihak ASEAN mengenai Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar ASEAN dan Forum ASEAN+3 mengenai Wanita dan Pendigitalan.

Acara-acara ini menghimpunkan lebih 100 peserta dari ASEAN dan negara-negara Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Republik Korea.

Sesi dialog bertujuan memperkukuh pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar ASEAN dengan memfokus kepada kerjasama serantau bagi transformasi luar bandar yang mampan dan inklusif.

Sesi forum meneroka cabaran yang dihadapi wanita luar bandar dalam mengakses teknologi digital, pendidikan dan perkhidmatan kewangan. – Bernama