TAPAH: Seramai 17 penghuni rumah jagaan warga emas ditemui terperangkap termasuk ada antaranya duduk di atas meja bagi menyelamatkan diri dalam kejadian banjir di Bidor di sini petang tadi.

Mereka yang terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita warga emas berjaya diselamatkan sepasukan anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari rumah setingkat di Jalan Bruseh itu pada kira-kira pukul 6 petang.

Menurut jurucakap APM seramai sembilan anggota dan pegawai terlibat berusaha membawa keluar kesemua mangsa dengan dipapah, dikendong belakang badan dan didukung selain dibawa menaiki pengusung.

“Kami menemui lima daripada mereka duduk di atas meja makan kerana rumah itu dinaiki air sehingga paras dada manakala yang selebihnya berada dalam bilik masing-masing termasuk yang terlantar sakit.

“Kami mengambil masa selama kira-kira 10 minit untuk memujuk kesemua mereka dengan bantuan pengerusi rumah jagaan itu kerana pada awalnya ada yang enggan dibawa keluar sehinggalah kami menerangkan risiko bahaya termasuklah kehadiran ular di kawasan berhampiran seperti kes sebelum ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hua 1 di sini yang menempatkan kesemua warga emas berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang melawat PPS itu malam ini berterima kasih kepada pasukan APM dan penyelamat kerana berjaya membawa kesemua mangsa ke PPS itu dengan selamat.

“Selain di sini, kawasan Felda Trolak turut dilanda banjir dan mangsa terlibat dipindahkan ke Dewan Semai Bakti.

“Begitu juga Pekan Trolak dan kawasan Sungkai. Hampir semua kawasan daerah Batang Padang dilanda banjir dan saya akan cuba tinjau kesemua kawasan terlibat,“ katanya. — Bernama