KUALA LUMPUR: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad bermula mulai 31 Ogos lepas memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dalam menampung perbelanjaan harian, terutama ketika berdepan cabaran kenaikan kos sara hidup.
Di Kedah, suri rumah Siti Noraziah Rashid, 26, dari Kampung Bukit Nyan, Pokok Sena berkata bantuan tersebut membolehkan dia membeli barangan keperluan asas selepas pendapatan suaminya yang bekerja sebagai penoreh getah terjejas akibat cuaca hujan.
“Sudah hampir seminggu suami tak boleh menoreh sebab hujan, dengan bantuan RM100 ini dapatlah beli barangan keperluan untuk kami dan tiga orang anak serta barangan dapur.
“Tok (nenek) juga dapat RM100, jadi banyak juga barangan keperluan yang dapat dibeli seperti beras, gula, minyak dan barangan lain, kami sangat bersyukur kerana bantuan ini tiba saat kami tak dapat menoreh hingga pendapatan terjejas,“ katanya.
Bagi penoreh getah, Azizah Mat Desa, 65, dari Kampung Hujung Keton, Kubur Panjang, Pendang pemberian SARA sangat membantu dia dan suami serta lima anak mereka dalam membeli barangan keperluan.
“Alhamdulillah bantuan ini memang kena pada masanya, dapatlah kurangkan beban kami yang tak boleh menoreh buat masa ini...kalau tidak, tak berasap dapur kami,“ katanya.
Di Sabah, Jamaliah Osman, 45, dari Kampung Likas, menyatakan penghargaannya kepada kerajaan atas bantuan SARA yang disifatkan sangat bermakna untuk menampung keperluan asas.
Ibu kepada lima anak yang menjual kuih di pasar malam berkata dia terpaksa berjimat cermat untuk membeli barangan dapur dan bantuan itu dapat mengurangkan sedikit beban perbelanjaan keluarga serta kos bahan untuk perniagaannya.
Pemandu teksi dari Penampang, Mohd Rizal Abdullah, 38, pula menyifatkan bantuan SARA sebagai tepat pada masanya lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa.
“Walaupun jumlahnya tidak besar tetapi ia sangat membantu bagi keluarga berpendapatan rendah seperti kami, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya yang turut menyara ibunya yang tinggal bersama.
Jamilah Gingging, 41, seorang suri rumah dari Tambunan, berkata bantuan itu akan dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan sekolah tiga anaknya dan berharap agar bantuan itu diteruskan terutama sebelum sesi persekolahan bermula.
Di Melaka, penjawat awam Farah Huda Shahiran, 29, berkata bantuan RM100 yang diterimanya amat bermakna untuk membeli barangan keperluan harian seperti minyak masak dan beras sekali gus dapat meringankan beban keluarga.
Dia berkata pendekatan menggunakan kad pengenalan sebagai cara menebus dan membeli barangan di pasar raya terpilih juga sangat memudahkan dan lebih berkesan untuk memastikan hanya rakyat tempatan memperoleh bantuan itu tanpa sebarang penyelewengan.
Di Selangor, Jamal Mohd Razali, 33, berkata penggunaan SARA adalah mudah dan dia tidak berdepan masalah semasa ingin melakukan pembayaran ketika berbelanja bersama isteri di Mydin Mart Seksyen 13, Shah Alam di sini pada Ahad lepas.
Dia yang membeli barangan seperti sabun dan makanan asas berkata walaupun RM100 yang diberikan secara sekali beri itu nampak kecil, jika ia dibelanjakan dengan bijak mampu memberikan kesan besar kepada setiap penerima.
“Setiap bulan saya akan berbelanja kira-kira RM400 ke RM500 untuk barangan keperluan, jadi dengan adanya bantuan itu saya dapat jimat RM100. Saya rasa senarai barangan di bawah bantuan itu boleh diperluaskan,“ kata pekerja di sebuah syarikat swasta itu.
Di Pulau Pinang, pasangan suami isteri Mursyid Sulaiman, 29, dan Jannah Abdul Rahman, 29, turut memanfaatkan bantuan tersebut dengan membeli barangan keperluan asas seperti beras, telur, gula, tepung, dan bawang di sebuah pasar raya besar di Bertam dengan jumlah RM200 yang mereka terima.
“Memang sumbangan ini amat membantu kerana kami dapat menjimatkan wang membeli barangan dapur dan susu bayi kerana kami ada anak perempuan berusia setahun tiga bulan. Jadi, ia (sumbangan) dapat kurangkan beban,“ kata Jannah.
Di Pahang, seorang peniaga, Amirul Hilmy Abas, 46, berkata SARA yang diterima mungkin dilihat kecil pada pandangan sesetengah pihak namun bagi rakyat yang berpendapatan rendah ia amat bermakna kerana mampu meringankan sedikit beban kos sara hidup harian.
“RM100 itu mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya cukup bernilai sekiranya dibelanjakan dengan betul, khususnya untuk barangan keperluan asas. Saya sendiri mengutamakan pembelian makanan dan barangan dapur dengan wang itu kerana ia lebih berbaloi serta memberi manfaat buat keluarga,” katanya. - Bernama