KUALA LUMPUR: Pekerja gig, e-hailing dan p-hailing akan diberikan insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif Belanjawan 2026 ini bagi melengkapkan perlindungan sosial dan menggalakkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja sendiri yang tidak mampu mencarum perlindungan diri.
Beliau berkata Skim i-Saraan juga diteruskan untuk pekerja informal atau individu bekerja sendiri yang lain dengan caruman padanan sehingga RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup.
Anwar menegaskan Akta Pekerja Gig 2025 telah mewajibkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja gig semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Kerajaan bersetuju menanggung 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pekerja gig di sektor belum dimandatorikan yang pertama kali mendaftar.
Insentif 50 peratus bagi tahun kedua caruman juga disediakan untuk pekerja gig tersebut.
Pencari kerja atau graduan baharu yang menerima tawaran kerja perlu berpindah lokasi akan menerima insentif bernilai sehingga RM1,000 daripada PERKESO.
PERKESO turut menaikkan kadar maksimum RM170 berbanding RM150 bagi setiap rawatan hemodialisis dengan implikasi tambahan sebanyak RM52 juta setahun.
PERKESO akan melengkapkan pusat rehabilitasi di Melaka, Perak, Terengganu dan terbaru di Pulau Pinang dengan pusat berkapasiti 250 katil.
Bagi kaum ibu, umur kelayakan i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun selari usia persaraan minimum. – Bernama