• 2025-10-10 09:56 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan usaha membina lebih banyak kediaman rakyat merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan perumahan bagi manfaat seluruh rakyat menerusi Belanjawan 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu merangkumi pelaksanaan Program Residensi Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM672 juta.

Beberapa projek dijangka siap tahun hadapan yang akan memberi manfaat kepada lebih 33,000 penghuni antaranya PRR Ayer Lanas di Jeli Kelantan dan PRR Masai di Johor.

Beliau turut mengumumkan bahawa Skim Jaminan Kredit Perumahan akan diperluaskan dengan menawarkan jaminan kepada 80,000 lagi pembeli rumah pertama.

Had keseluruhan jaminan ditingkatkan kepada RM20 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini yang akan membantu lebih ramai pekerja gig dan bekerja sendiri memiliki rumah.

Lebih 3,300 rumah daif termasuk 380 rumah nelayan akan dibaik pulih atau bina baharu dengan peruntukan RM500 juta.

Kemudahan kawasan PRR yang lebih manusiawi membabitkan RM143 juta untuk selenggara rumah strata kos rendah sederhana termasuk penggantian lif-lif yang usang.

Selain itu hampir RM90 juta bagi menambah baik prasarana asas Kampung Baru Cina dan kampung India serta RM95 juta membaik pulih dan menaik taraf tandas awam serta taman awam di semua PBT.

Bagi memperkukuh sosioekonomi komuniti PRR Anwar berkata pelbagai program kesedaran dan gaya hidup sihat akan dilaksanakan termasuk Program Bomba Bersama Rakyat serta aktiviti sukan rakyat.

Kerajaan bercadang pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga hingga RM500,000 dilanjutkan sehingga 31 Dis 2027.

Kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.

Langkah ini memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing serta dapat mengawal kenaikan harga rumah untuk manfaat rakyat.

Selaras dengan aspirasi RMK13 kerajaan menggalakkan institusi kewangan untuk menyokong pelaksanaan skim sewa-beli rumah serta skim bina-kemudian-jual.

Kerajaan turut mencadangkan perbelanjaan pengubahsuaian dan menukar bangunan komersial kepada tempat kediaman diberi potongan cukai khas bersamaan 10 peratus daripada perbelanjaan yang layak dimana potongan cukai terhad sehingga RM10 juta.

Terkait premis agama masyarakat berbilang kaum pula Anwar berkata RM50 juta disediakan bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah ibadat bukan Islam berdaftar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau turut mengumumkan tiga projek rintis Sekolah Vertikal turut diumumkan sebagai model integrasi sekolah dan perumahan dalam bangunan yang sama iaitu Kota MADANI Presint 19 Putrajaya Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont Seberang Perai Pulau Pinang dan Residensi Aman MADANI Bandar Sri Permaisuri di sini.

Anwar berkata konsep Kota MADANI lahir dari kekuatan dalaman untuk memaknai falsafah MADANI dan Kota MADANI Presint 19 merupakan kota pertama dalam negara yang dianggap smart city kecerdasan buatan dan hijau dengan penyediaan 10,000 rumah dan 80 peratus dikhususkan untuk penjawat awam. – Bernama