KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan bahawa budaya membaca perlu terus disemarakkan lagi oleh semua lapisan masyarakat kerana ia masih belum menjadi amalan di negara ini.

Beliau berkata hal ini bertentangan dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan keyakinan dan kecintaan terhadap ilmu.

“Membaca belum menjadi budaya di negara kita dan (bagi) saya ini agak melelahkan. Apabila kita sebut negara MADANI, ia negara yang berpaksikan (kepada) keyakinan dan mencintai ilmu.

“Bagaimana boleh kita cintai ilmu (jika) sekadar dengar syarahan, lontaran idea? ... kadang-kadang ada maki hamun, tetapi tidak berteraskan ilmu. Baca empat ayat, atau dengar celoteh dua minit dalam media sosial, kita buat keputusan. Dunia ini mencabar dan dunia ini memerlukan manusia yang mendalami ilmu mereka,” kata beliau di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025 Mohd Khair Ngadiron serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.